Rokok merupakan satu perkara yang begitu sinonim dan dikenali dalam
kalangan masyarakat manusia di seluruh pelusuk muka bumi ini sama ada di
timur mahupun barat. Rokok juga merupakan antara item yang terlaris
jualannya di pasar dunia pada hari ini dan ini menunjukkan bahawa rokok
mendapat sambutan yang begitu tinggi dari pelbagai bangsa dan negara di
seluruh dunia. Rokok telah wujud sejak berabad-abad tahun dahulu lagi,
di mana pernah menjadi peristiwa ketika pemerintah kerajaan Islam silam,
Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 masihi) sangat kuat memusuhi
rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi
penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam negara.
Para saintis juga mendedahkan bahawa penduduk tempatan Mexico,
Amerika Tengah dan Selatan mempunyai tabiat mengunyah tembakau.
Kemudinnya, tembakau telah diperkenalkan di Eropah oleh Christopher
Columbus yang menjejakkan kakinya di benua Amerika pada tahun 1492.
Tabiat merokok yang asalnya dari aktiviti mengunyah tembakau berkembang
pesat di Eropah terutamanya semasa Perang Crimean, Perang Dunia Pertama
dan Perang Dunia Kedua. Kilang rokok pertama wujud di London pada tahun
1880.
Dan pada zaman kini, rokok menjadi sesuatu yang amat kontroversi dan
panas dalam perbincangan dari segi hukum menghisapnya dalam kalangan
orang Islam. Terdapat dua pandangan yang timbul mengenai hukum merokok
melalui persepakatan para ulama’ iaitu haram dan harus dan yang nyata
serta jelasnya adalah haram. Ini kerana, setelah kajian demi kajian
dilakukan mendapati bahawa rokok banyak mendatangkan kemudaratan dari
kemaslahatan terhadap diri perokok dan masyarakat sekeliling dari sudut
kesihatan, kewangan, nilai moral, alam sekitar dan lain-lain lagi.
Segala perkara yang mendatangkan kemudaratan melebihi kemaslahatan dari
sudut syara’ adalah haram kerana maqasid syariah datang adalah bertujuan
untuk membawa kemaslahatan dan kerahmatan kepada seluruh umat.Allah
berfirman:
“Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka yang buruk-buruk.” (Al-A`raf : 57)
Allah s.w.t turut melarang kita dari mencampakkan diri kedalam kebinasaan seperti mana firmanNya:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Al- Baqarah : 195)
Gambar 1: Kesan merokok
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan
kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia telah bertambah
daripada 1 juta dalam pertengahan tahun 1960an kepada 3 juta pada tahun
2004. Jumlah ini dianggarkan menigkat lagi kepada 10 juta setahun
menjelang tahun 2020. Jumlah kematian yang dianggarkan ini hampir
menyamai jumlah kematian orang awam dalam Perang Dunia Pertama. Jadi ini
menunjukkan bahawa bertapa bahayanya rokok sehingga mampu mengancam
kelansungan bilangan manusia pada masa hadapan. Sehubungan dengan itu,
setiap insan sama ada dia perokok ataupun tidak amatlah
dipertanggungjawabkan untuk menangani dan menghapuskan sepenuhnya tabiat
dan keketagihan merokok dalam diri setiap perokok.
Terdapat beberapa kaedah dan perlaksanaan yang boleh diamalkan oleh
mereka yang tidak merokok dalam proses memulihkan perokok dan perokok
dalam proses menangani dan menghapuskan tabiat merokok dalam diri
mereka. Antaranya adalah datang dari institusi keluarga iaitu peranan
Ibu bapa dalam menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak.
Sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak walaupun sibuk dengan
kehidupan dan kerjaya. Ibu bapa tidak terlalu bebas membenarkan
anak-anak bergaul dengan rakan sebaya kerana rakan sebaya merupakan
salah satu punca yang membawa kepada tabiat merokok.Sentiasa menerangkan
kepada anak-anak akan keburukkan yang akan dihadapi apabila merokok
sejak dari kecil lagi kerana kanak-kanak amatlah mudah mendengar kata
dan nasihat berbanding dewasa. Disamping itu, ibu bapa perlu mengambil
tahu masalah anak-anak untuk mengelakkan mereka daripada stress yang
mendorong kepada mereka untuk merokok. Menjauhi anak-anak daripada
kehidupan yang terlalu mewah, memberi wang ketika diperlukan sahaja.
Jadi ibu bapa jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab mereka dalam hal
mendidik anak-anak dengan sebaiknya demi masa hadapan mereka dan
masyarakat kerana merekalah akan bakal mencorak masyarakat masa hadapan.
Selain itu, bagi diri perokok pula, anda hendaklah sentiasa menanam
keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam diri untuk berhenti dari
merokok. Perubahan tersebut hendaklah bermula dengan tegasnya dari dalam
diri anda sendiri kerana perubahan memerlukan kepada faktor luaran dan
dalaman. Masyarakat hanya mampu memenuhi faktor luaran sahaja selebihnya
adalah pada diri anda sendiri. Sentiasalah memikirkan tentang akibat
buruk yang akan anda dan orang terdekat anda hadapi sekiranya anda terus
dengan tabiat merokok anda. Perkara ini sedikit sebanyak menyedarkan
anda untuk lebih menghargai dan mensyukuri kesenangan dan kenikmatan
yang diberi tuhan pada waktu itu. Jadi bertegaslah terhadap diri dan
jiwa anda dalam menyusuri jalan perubahan kerana perubahan yang baik
memerlukan kepada ketegasan dalam diri.
Pada masa yang sama juga, pihak kerajaan dan yang bertanggungjawab
juga perlu memainkan peranan dalam menangani masalah tabiat merokok
dalam kalangan masyarakat. Antaranya, kerajaan boleh untuk menaikkan
harga rokok di pasaran bagi menyukarkan masyarakat membeli rokok dan
seterusnya mengurangkan peluang mereka untuk merokok. Walaupun dengan
menaikkan harga rokok tidak boleh memberhentikan seseorang terus
daripada merokok tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan
pengambilan rokok dalam sehari oleh perokok tersebut dan lama kelamaan
akan terus berhenti. Disamping itu, pihak kerajaan turut boleh
melaksanakan tindakan undang-undang kepada golongan yang merokok di
kawasan awam secara terbuka sepertimana dilaksanakan di kampus
institusi-institusi pengajian tinggi dan hospital yang mana ditetapkan
sebagai zon dilarang merokok. Perkara ini sedikit sebanyak dapat
mengekang hajat seseorang perokok untuk terus merokok.
Dalam hal berhenti merokok, menagguhan dan berlengahan itu adalah
salah satu perkara yang perlu walaupun dalam perkara kebaikkan yang lain
ia amatlah ditegah. Penagguhan dan perlengahan ini adalah penting
kerana ia dapat menghalang seseorang itu untuk terus melazimi
kebiasaannya merokok pada sesuatu masa. Perokok boleh mengisi masanya
dengan melaksanakan perkara lebih bermanfaat untuk mengalih perhatian
dari merokok pada ketika itu dan seterusnya mengabaikan terus untuk
rokok pada ketika itu. Perokok juaga perlulah sentiasa mengamalkan cara
hidup yang sihat dengan makan makanan yang berkhasiat dan banyakan
bersenam. Amalan ini dapat mengurangkan selera dan keinginan anda untuk
merokok kerana badan anda akan sentiasa menginginkan elemen yang sihat
sejahtera dan menolak yang tidak sihat seperti rokok. Akhir sekali,
seseorang yang ingin berubah hendaklah sentiasa memohon dan berdoa
kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan dan kesungguhan dalam
menjalani proses perubahan ini sehingga berjaya.
Kesimpulannya, tabiat merokok mengundang kepada permasalahan dalam
pelbagai aspek dan merupakan punca seseorang mendapat penyakit kanser
yang mana merupakan pembunuh utama di Malaysia. Bilangan perokok
sentiasa bertambah dari tahun ke setahun terutamanya dalam kalangan
remaja. Oleh itu, disarankan beberapa langkah untuk mengatasi tabiat
merokok yang mana diletak dalam setiap aspek yang menjadi faktor
seseorang merokok iaitu aspek keluarga, masyarakat, diri sendiri dan
kerajaan. Setiap langkah yang dicadangkan diharapkan dapat dipraktikkan
sekaligus berjaya mengatasi dan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia.
Jadi katakan ‘Tak Nak’ pada rokok.
Disediakan OlehMuhammad Afiq Adzrin bin Mohd Puaat,
Tahun 1 Perubatan,
Jordan University of Science and Technology
sumber : http://luqmanafifi.ismajordan.com/?p=4894
0 comments:
Post a Comment